Ahad, 1 Jun 2014

Untuk Siapa DG42 ?




Pada 24 Mac 2014 Kementerian Pendidikan Malaysia melalui Bahagian Sumber Manusia (BPSM) selaku urusetia naik pangkat telah mengeluarkan iklan Urusan Naik Pangkat bagi Pegawai Pendidikan DG29,DG32,DG34 dan DG38  yang memperolehi ijazah semasa dalam perkhidmatan ke gred DG42. Ini adalah proses pelaksanaan urusan yang telah ditetapkan melalui Pekeliling Perkhidmatan Bil 40 Tahun 2013, "Penggabungan Skim Perkhidmatan Pendidikan Siswazah dan Pegawai Pekhidmatan Lepasan Diploma".

Di bawah Pekeliling Perkhidmatan Bil 40 Tahun 2013 urusan DG29,DG32,DG34 dan DG38 ke DG42 ialah urusan naik pangkat dengan calon-calon memenuhi:
  • disahkan dalam perkhidmatan
  • mencapai tahap prestasi yang ditetapkan
  • memiliki ijazah sarjana muda dan yang setaraf
  • diperaku oleh Ketua Jabatan / Perkhidmatan
Perincian syarat di atas telah dinyatakan dengan detail seperti siaran naik pangkat bertarikh 24 Mac 2014.

Kita menerima pelbagai pertanyaan yang sukar dan kurang jelas untuk dijawab. Ada yang bertanya perlukah mereka yang telah dilantik ke DG41 memohon ke DG42? Ada yang berpendapat kalau habis belajar mohon DG41 dapat satu kenaikan, kalau mohon DG42 hanya pindah gaji terdekat sahaja. Ada pula mengatakan ppld yang tidak boleh sambung belajar kemudian pergi kursus nanti dapat dilantik ke DG42. Macam-macam lagilah. Benda baru banyaklah hujah dan spekulasinya.

Pada pandangan admin sekali pandang seakan ada dua pihak yang berkuasa melantik pegawai ppld yang sambung belajar. Satu ialah Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran yang bertanggungjawab melantik mereka yang baru dan sambung belajar ke gred awal siswazah DG41. Kedua ialah Lembaga Naik Pangkat Pegawai Pendidikan dari ppld ke gred naik pangkat siswazah DG42. Walaupun nampak berbeza tetapi skim gaji yang ditawarkan adalah sama.

Justru itu adalah lebih molek dan tersusun jika selepas ini dan seterusnya ppld yang sambung belajar dan memperolehi ijazah dilantik ke gred naik pangkat DG42 terus dan tidak perlu lagi memohon ke SPP untuk dilantik kerana sewaktu awal perkhidmatan mereka dilantik dan telah disahkan dalam perkhidmatan oleh SPP. Rekod perkhidmatan mereka diteruskan dengan urusan pelantikan dan pengesahan kenaikan pangkat dari BPSM dari satu tahap ke satu tahap. Sementara bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan baru keluar dari Universiti atau IPGM peranan pelantikan dan pengesahan jawatan dilaksanakan seperti mana sekarang oleh SPP.

Begitu juga bagi memberi keadilan kepada ppld DG41 dan DG42 asas kenaikan pangkat ke DG44 adalah sama seperti sekarang di mana mereka boleh menggunakan perkhidmatan 3 tahun semasa ppld sebagai satu tahun siswazah dan masa lantikan ke gred masing-masing (DG41 dan DG42) sebagai asas perkiraan untuk ke DG44. Kita ucapkan tahniah dan terima kasih kepada Kesatuan-Kesatuan Guru yang berjuang perkara ini dan terima kasih kepada kerajaan yang mempermudahkan urusan ppld yang sam bung belajar ke skim siswazah.

Selain isu di atas yang jelas termaktub dalam pekeliling cara penyelesaiannya terdapat bertiup kencang dan hangat diperkatakan termasuk di media sosial bahawa mereka yang berumur lima puluh ke atas dan tiada kesempatan untuk sambung belajar akan diberi kursus khas untuk membolehkan mereka dilantik ke jawatan naik pangkat DG42. Betul ker ? Bahkan kurikulum oleh insitusi latihan juga telah ada disiapkan. Dan dikatakan latihan berdasarkan mengikut kohort. Dengar kata perbincangan peringkat tertinggi kesatuan dan KPM juga telah ada. Jika benar bagai digembar-gemburkan bersyukurlah. Mana-mana guru yang berminat, sihat dan bertenaga lagi untuk berkhidmat tentu merasa gembira jika ini benar-benar menjadi kenyataan.

Walau bagaimanapun kita juga harus tidak lupa sejarah dan perlu mengambil iktibar. Jangan bila terdengar guruh di langit air tempayan dicurahkan. Kita takut kuat lajak pada laju hasil ketidak fahaman tentang dasar dan sesuatu perkara. Saya masih teringat satu ketika dulu sewaktu NPQH diperkenalkan ramai guru-guru muda memohon dengan harapan jika habis NPQH mereka boleh dilantik sebagai Pengetua atau Guru Besar. Kesilapfahaman tentang dasar dan asas naik pangkat menyebabkan ramai kalangan mereka kecewa kerana tidak dapat dilantik kerana terlalu muda dan tidak masuk bakul. Sebilangan kecil hanya layak dilantik GPK dan menyambung belajar melalui NPQH itu dan hingga kini kekal sebagai GPK DG44(KUP). Mulai Julai 2014 yakni selepas sepuluh tahun lebih barulah benar-benar kita melaksanakan NPQEL sebagai syarat wajib menjadi Guru Besar. Mereka yang sudah ada NPQEL telah memiliki ijazah dan memegang jawatan GPK tidak lagi peluang menjadi Guru Besar.

Oleh yang demikian kita benar-benar berharap agar kaedah dan makanisme kursus dan pelantikkan ppld yang tidak  berpeluang sambung belajar ke DG42 benar-benar konkrit dan selari dengan prinsip serta dasar yang ditetapkan . Kita tidak mahu ianya sebagai panglipulara sahaja. Alasan kita dulu berjaya berjuang dari sijil kepada diploma bukanlah alasan untuk kita memperjuangkan perkara ini dengan selesa kerana ia agak berbeza. Apatah lagi dalam persijilan guru , ada yang dilaksanakan 3 tahun dan ada yang termasuk praktikum tidak kurang dari dua tahun setengah. Maka adalah munasabah jika taraf sijil dinaikkan ke diploma perguruan apa lagi asas kemasukan ke maktab perguruan atau ipgm  SPM dan STPM.

Rasanya tidak perlu saya ulas dan kupas panjang dan mendalam. Cukuplah cetusan sedikit untuk sama-sama kita merenung dan berfikir agar kita jangan terlalu melangkolik dengan ilusi yang belum tentu lagi ada kepastiaan. Apa yang penting kita perlu mantapkan barisan dan melaksanakan agenda pendidikan bangsa dengan sepenuh jiwa dan tenaga. Inilah natijah perjuangan paling besar kita. Insyaallah Allah akan mencampakkan rezeki dan maruah serta martabat kita melalui pimpinan kita yang ada. Kita percaya KPM dan kerajaan akan sentiasa melaksanakan tranformasi perkhidmatan perguruan dari masa ke semasa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan