Festival Bunga dan Taman Putrajaya 2014 - FLORIA Putrajaya 2014
29 May 2014
FLORIA Putrajaya – Festival bunga dan taman yang dinanti-nantikan di
Malaysia akan kembali menemui anda pada tahun ini dengan menghidangkan
pelbagai jenis flora yang berwarna-warni dan menarik di luar imaginasi
anda. Bertemakan ‘Pesona Warna’, FLORIA Putrajaya 2014 menjanjikan
pameran bunga-bungaan dari pelbagai spesis yang disusun atur di dalam
taman-taman yang direka khas. Bunga Begonia atau asam batu yang
berasal dari iklim lembap subtropika dan tropika telah dipilih sebagai
bunga tema Festival Bunga dan Taman Putrajaya mulai 14 hingga 22 Jun
2014.
Memandangkan ini adalah kali ketujuh acara ini diadakan, Perbadanan
Putrajaya (PPj) selaku pihak penganjur sedang membuat persiapan untuk
mempersembahkan satu pameran yang lebih besar dan lebih baik buat
pengunjung di tapak baru dan kekal di Pesisiran Tasik, Presint 4.
FLORIA Putrajaya 2014 akan mempamerkan reka bentuk dari peserta
antarabangsa yang terdiri daripada pereka taman, pereka gubahan bunga
serta Pertubuhan/ Persatuan Floral Antarabangsa. Selain mempamerkan
reka bentuk taman dalaman dan taman luaran, pelawat diberi peluang untuk
menikmati kreativiti dan kepakaran pereka landskap tempatan dan
antarabangsa melalui lebih daripada 80 rekaan taman luar oleh
agensi-agensi kerajaan , badan-badan korporat, sektor swasta,
persatuan-persatuan, universiti serta sekolah menengah dan rendah.
Antara kelainan yang akan dibawakan di Floria 2014 ini adalah “Taman
Bertema” di mana peserta pameran taman akan diberi tema rekabentuk
seperti Taman Perkahwinan, Taman Bandar, Taman Pereka, Taman Fantasi,
Taman Futuristik, Taman Melawat Malaysia dan Taman Piala Dunia.
Tarikan lain yang akan memeriahkan Floria 2014 adalah Bazar Tanaman dan
Pasar Hortikultur yang akan menjual segala keperluan perkebunan dan
tumbuh-tumbuhan seperti pokok hiasan, pokok ulam-ulaman, pokok
buah-buahan, pokok bunga berpasu, perabot taman, peralatan taman,
produk bioteknologi dan perkhidmatan landskap. Justeru itu, lebih
daripada 200 aktiviti harian akan diadakan sepanjang sembilan hari
FLORIA Putrajaya berlangsung. Aktiviti-aktiviti ini termasuk
demonstrasi gubahan bunga, bengkel berkebun, acara hiburan, pertandingan
fotografi, pertandingan cat air, pertunjukkan fesyen serta seni dan
kraf.
Penganjuran FLORIA Putrajaya pada kali ini juga dimeriahkan dengan
keloborasi rakan kongsi bijak atau smart partners yang turut terlibat
menjayakan FLORIA Putrajaya bagi mendekatkan jenama produk mereka kepada
pengunjung.
Sepertimana setiap kali penganjuran FLORIA Putrajaya, tarikan baru
sentiasa disediakan untuk memberi nilai tambah kepada acara tahunan
ini. Pada tahun ini, antara tarikan utamanya adalah Taman Di-Raja,
Taman Tergantung, Taman Begonia, Taman Orkid, Tea Party Garden dan Taman
Inovasi.
Kini dianjurkan sebagai acara tahunan, FLORIA Putrajaya sentiasa
ditunggu-tunggu oleh orang ramai kerana keunikan dan keindahan flora
yang dipamerkan di taman-taman berlandskap yang direka menarik, ditambah
pula dengan lampu berkilauan pada waktu malam.
Menjanjikan pameran yang menakjubkan di Pesisiran Presint 4, FLORIA
Putrajaya dibuka kepada lawatan umum mulai 14 hingga 22 Jun 2014 dari
9:00 pagi – 10:30 malam (Isnin hingga Khamis) dan dari pukul 9:00 pagi
hingga 12:00 tengah malam (Jumaat hingga Ahad).
Untuk maklumat lanjut, sIla layari http://floriaputrajaya.com.my
Tiada ulasan:
Catat Ulasan