Guru perlu kreatif, inovatif
Oleh: Norizan Abdul Muhid
GURU harus melengkapkan persediaan dengan ilmu pengetahuan yang luas
mencakupi pelbagai bidang dan perlu berani melakukan perubahan ke arah
kreativiti serta inovasi bersesuaian dengan tema sambutan Hari Guru kali
ke-43 tahun ini iaitu Guru: Pencetus Kreativiti, Penjana Inovasi.
Bekas Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Noor Rezan Bapoo
Hashim berkata, keperluan tersebut bersesuaian dengan perubahan bidang
pendidikan masa kini yang memerlukan guru kreatif dan inovatif untuk
menghasilkan proses pengajaran dan pembelajaran efektif seterusnya
melahirkan produk berkualiti.
Menurutnya, guru mesti bersedia memainkan peranan penting dalam
mengerakkan kreativiti dan inovasi dalam semua bidang di sekolah dan
bijak menerapkan kedua-dua elemen tersebut melalui aktiviti pengajaran
dan pembelajaran yang dilakukan secara terancang.
"Guru tidak boleh lagi mempraktikan pengajaran yang sama seperti 10
atau 20 tahun dahulu kerana pelajar pada hari ini semakin bijak seiring
dan pengetahuan semakin mencabar dan sebab itu, guru harus bersedia
membuat perubahan ini.
"Salah satu perubahan ini adalah dengan cara mencabar keupayaan
pelajar mereka berfikir dengan menggunakan pelbagai teknik mengajar dan
alat bantu pengajaran yang menarik minat murid atau boleh mempelbagaikan
aktiviti pembelajaran," katanya ketika menjadi panel Forum Pendidikan
sempena sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan ke-43 di PWTC baru-baru
ini.
Selain Noor Rezan, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk
Seri S.K. Devamany dan Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional
Malaysia, Dr. Jessica Ong Hai Liaw turut menjadi ahli panel pada forum
itu yang dikendalikan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku,
Sayed Munawar Sayed Mohd. Mustar.
Mengulas lanjut mengenai perkara itu, menurut Noor Rezan, sebagai
guru, golongan berkenaan perlu memainkan peranan penting bagi menerapkan
kedua-dua elemen kreativiti dan inovasi dalam pengajaran mereka sama
ada dalam bilik darjah mahupun luar bilik darjah.
"Guru mesti bertindak sebagai pencetus kreativiti dan penjana inovasi
kerana guru sebagai penyampai ilmu perlulah memiliki kemahiran tinggi
bagi melakukan transformasi dalam menjana minda murid agar menjadi lebih
dinamik.
"Sesungguhnya murid yang kreatif dan inovatif akan menjadi seorang
yang sentiasa berfikir, ingin mencipta, bercita-cita besar, berani dan
yakin kepada diri sendiri. Inilah ciri-ciri murid yang perlu kita
lahirkan untuk menjadi warganegara bagi menghadapi cabaran masa depan
terutama dalam memasuki era 2020," katanya.
Sementara itu, menurut Devamany, pelaksanaan aspek pedagogi yang
kreatif dan inovatif amat penting agar kurikulum yang digubal dapat
diterjemahkan dengan cara menarik, berkesan dan berkualiti.
"Zaman sudah berubah dan kini guru-guru berada pada alaf ke-21 dan
untuk itu, guru mesti bersedia menghadapi cabaran semasa dan mesti
mengambil usaha menggerakkan peranan sebagai pencetus kreativiti dan
penjana inovasi,'' katanya.
Namun, pada masa yang sama, katanya, Kementerian Pendidikan perlu
memastikan sistem pendidikan yang disediakan telah sempurna dan sesuai
mengikut keperluan warga pendidik seterusnya mampu membantu golongan itu
mencapai matlamat pendidikan negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan