LHDN arah potong gaji
Oleh AZMAN IBRAHIM
KUALA LUMPUR 2 Jun - Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan
mengeluarkan arahan potongan gaji (Arahan CP38) kepada para majikan
bermula 16 Jun ini untuk pembayar cukai yang memperoleh pendapatan
daripada sumber penggajian dan masih mempunyai tunggakan cukai.
LHDN berkata, arahan CP38 itu mengkehendaki para majikan membuat
potongan tambahan secara ansuran bulanan terhadap gaji pembayar cukai
selain daripada potongan cukai bulanan bertujuan melunaskan tunggakan
cukai yang masih ada.
Katanya, Arahan CP38 akan berkuat kuasa mulai gaji Julai 2014 sehingga Disember 2014.
"Satu salinan Arahan CP38 turut akan diserahkan kepada pembayar cukai
melalui emel atau perkhidmatan pos untuk rekod percukaian mereka," kata
LHDN dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengikut rekod LHDN, sehingga 24 Mei lalu, dianggarkan 156,158 orang
pembayar cukai individu akan menerima Arahan CP38 berkenaan melibatkan
amaun tunggakan cukai berjumlah hampir RM418 juta.
Pembayar cukai yang menerima Arahan CP38 dinasihatkan untuk
menghubungi Pusat Panggilan LHDN di talian 1800885436 atau cawangan LHDN
yang mengendalikan fail cukai mereka jika memerlukan sebarang
penjelasan berkaitan arahan ini. Maklumat lanjut sila layari
www.hasil.gov.my.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan